PSIKOLOGI WARNA
Pengetahuan mengenai bagaimana warna dilihat serta digunakan dapat membantu menjadikan ruang dalaman lebih efektif, efisien MEMILIH kombinasi warna yang betul untuk ruang dalaman kediaman sememangnya membuat kita berasa selesa dan seronok. Setiap individu mempunyai warna kegemaran masing-masing, misalnya kita memilih pakaian mengikut warna disukai dan trend semasa Namun bagi sesuatu ruang dalaman, risikonya agak lebih tinggi kerana sebarang kesilapan boleh menyebabkan kerugian wang dan masa. Sewajarnya kita menimba sedikit pengetahuan mengenai warna pada peringkat perancangan supaya kita tahu bagaimana mendapatkan kesan positif terhadap sesuatu ruang dalaman. SERI pelbagai warna menarik perhatian. > Roda warna Roda warna adalah cara standard untuk menyatakan campuran warna yang mengasingkan spektrum warna kepada 12 warna berlainan. Tiga warna asas atau warna prima yang berada di tengah adalah merah, kuning dan biru. Warna ini dipanggil warna prima kerana tidak boleh dihasilkan dengan campuran mana-mana warna lain. Bersama dengan hitam dan putih, warna prima adalah asas kepada semua warna lain. Apabila warna disusun sebagai roda, ia membantu kita memahami perhubungan antara warna dan kesan dihasilkan apabila digunakan secara bersebelahan atau bertentangan. Warna kedua atau Warna Sekunder adalah warna yang dihasilkan antara campuran warna prima iaitu: Merah + Merah = Jingga (oren) Merah + Biru = Ungu (violet) Biru + Kuning = Hijau Warna ketiga atau Warna 'Tertiary' pula adalah warna yang di hasilkan dari campuran warna sekunder dengan warna prima di sebelahnya seperti: Kuning + Jingga = Kuning emas Jingga + Merah = Jingga Panas Merah + Ungu = Krimson Ungu + Biru = Indigo Biru + Hijau = Turquoise Hijau + Kuning = Hijau Daun Pisang Warna neutral adalah warna hitam dan putih dan campuran hitam dan putih iaitu kelabu. Warna pastel adalah warna lembut yang terhasil daripada campuran kuantiti warna putih yang banyak kepada warna lain. > Hue Hue adalah warna yang terhasil dari spektrum yang terdapat pada roda warna. Contohnya Hijau Daun Pisang, Hijau Muda, Hijau Epal, Hijau Buah Zaitun dan sebagainya adalah komponen dari Hue Hijau. > Tint dan shade Tint adalah warna yang terhasil dari campuran sesuatu warna dan putih. Manakala Shade pula adalah warna yang terhasil dari campuran sesuatu warna dan hitam. Contohnya: Biru + Putih = Tint Biru Biru + Hitam = Shade Biru GABUNGAN PENGGUNAAN WARNA CAMPURAN warna menghasilkan pelbagai skima berlainan. > Warna harmoni Warna harmoni adalah gabungan warna yang hampir sama antara satu dengan lain di dalam roda warna. Gabungan warna harmoni biasanya sesuai dan tidak terlalu berbeza atau berlawanan. > Warna komplimentari Warna kontras adalah gabungan warna yang tidak hampir antara satu dengan lain di dalam roda warna. Warna komplimentari juga adalah warna kontras. Warna kontras digunakan untuk menonjolkan sesuatu objek atau suasana dan kadangkala ia juga digunakan sebagai warna penyeri. > Warna monokrom Warna monokrom adalah gabungan warna yang terhasil dari keluarga yang sama. Penggunaan warna monokrom menghasilkan suatu komposisi yang harmonis tetapi boleh membosankan. > Warna penyeri Warna penyeri adalah warna yang menerbitkan seri dan kepelbagaian kepada sesuatu ruang, terhasil dengan menggunakan warna bertentangan atau kontras dengan skima warna keseluruhan sesuatu ruang. Warna penyeri digunakan pada objek tertentu seperti kusyen, bunga, hiasan dinding dan hamparan. RODA WARNA Psikologi warna Pemahaman mengenai psikologi warna adalah alat yang amat penting bagi pereka bentuk dalaman untuk memahami kehendak dan keperluan pengguna. Di dalam rumah kediaman dan juga bangunan awam pengetahuan mengenai bagaimana warna dilihat dan digunakan dapat membantu menjadikan ruang dalaman lebih efektif dan efisien. Walaupun kita melihat dan memahami warna kebanyakan adalah sama tetapi bagaimana kita menilai atau berasakan sesuatu adalah berbeza berdasarkan kepada pengalaman kita dengan warna, pengetahuan kita dengan warna dan budaya yang berkaitan dengan warna. Warna panas dan sejuk secara tradisional digunakan untuk menentukan kesan psikologi warna. warna panas secara visual dan psikologi akan memanaskan ruang. Warna panas akan memberi kesan memanggil, memberi rasa optimistik, menggalakkan dan juga menaikkan selera. Warna panas juga menunjukkan kesan pengecilan ruang dan membuat ruang nampak rapat. Warna sejuk pula secara amnya melahirkan rasa tenang, rehat dari segi minda dan anggota badan. Memberi kesan mengurangkan tekanan dan minda merasakan tiada perlu harus dikejarkan. Pandangan visual ini membuatkan ruang kelihatan luas dan sesuai untuk ruang kediaman kecil. Menghasilkan papan sampel dan skima warna Papan sampel dan skima warna adalah satu kaedah pemilihan warna dan bahan kemasan yang dijalankan oleh jurureka dalaman bagi mendapatkan komposisi warna yang menepati cita rasa, keperluan dan kehendak pemilik, pengguna dan prinsip reka bentuk. Sampel bahan dan warna disusun mengikut skala tertentu berdasarkan kepada aplikasinya dengan gambar pilihan perabot, pencahayaan dan aksesori lain. Selepas komposisi ini sesuai dan dipersetujui pelanggan dan pengguna, ia akan digunakan sebagai panduan dan arahan kepada kontraktor menjalankan kerja. Papan sampel dan skima warna penting kerana mampu mengelakkan kesilapan pemilihan warna dan bahan lantas mengelakkan kerugian kos dan masa. Warna : Gaya, trend dan imej Setiap ruang mempunyai pendekatan gaya yang tertentu bergantung kepada jenis atau kategori ruang dan konsep reka bentuknya. Pemilihan skima warna memainkan peranan penting dalam menentukan sesuatu konsep reka bentuk itu dapat di tonjolkan. Contohnya untuk memaparkan imej gaya Melayu tradisional warna kayu dan warna yang berasaskan coklat, serta warna ala songket dan batik cetak adalah sesuai digunakan. Warna juga mampu memaparkan konsep imej tertentu, contohnya warna prima dan sekunder dapat menggambarkan imej muda, bertenaga dan keseronokan, warna merah banyak dikaitkan dengan budaya masyarakat Cina dan sebagainya. Warna tertentu juga boleh memaparkan imej korporat sesuatu syarikat atau perniagaan. Pada hari trend warna diperkenalkan organisasi ramalan warna. Organisasi itu terdiri daripada syarikat pengeluar cat utama di dunia. Syarikat pengeluar ini akan memanggil perunding warna untuk membuat ramalan dan menunjukkan warna yang akan menjadi trend tahun mendatang. Warna yang diramal biasanya disesuaikan dengan perkembangan dunia fesyen, gaya hidup dan imej masyarakat terkini. MafaramId
0 komentar:
Posting Komentar